Surah 33: Al-Ahzab (22 – 25)

Sikap Orang Mukmin ketika Melihat Pasukan Bersekutu

Surah 33: Al-Ahzab (22 – 25)


Ayat 22

وَلَمَّا رَءَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلْأَحْزَابَ قَالُوا۟ هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ ۚ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّآ إِيمَـٰنًا وَتَسْلِيمًا

Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.” Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Setelah Allah Swt menerangkan sifat dan keadaan orang-orang munafik, dalam ayat ini pula Dia menerangkan tentang keadaan orang-orang mukmin ketika menghadapi musuh.

Orang-orang mukmin yang sejati, mereka membenarkan dan mempercayai janji-janji Allah Swt serta tulus ikhlas dalam perbuatan dan ucapan mereka. Apabila mereka menyaksikan tentera bersekutu berkumpul mengelilingi Madinah, maka mereka mengatakan bahawa itu adalah apa yang dijanjikan oleh-Nya dan Rasul-Nya kepada mereka berupa ujian dalam bentuk menghadapi musuh, kemudian akan diikuti dengan pertolongan dan kemenangan yang dekat. Mereka begitu yakin bahawa pertolongan dan kemenangan yang dijanjikan Allah Swt dan Rasul-Nya adalah benar dan pasti berlaku.

Kemenangan yang berpihak kepada orang-orang mukmin tanpa berperang menambahkan lagi keimanan mereka, kepasrahan kepada takdir-Nya, dan ketundukan kepada perintah-Nya.

Firman Allah Swt di dalam surah-surah yang lain:

“……….Adakah manusia berfikir bahawa mereka akan dibiarkan dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia pasti mengetahui orang-orang yang dusta.”

Al-‘Ankabut 29:1-2

“Atau adakah kamu berfikir bahawa kamu akan masuk ke dalam syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti (yang dialami) oleh orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diuji (dengan pelbagai ujian), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersama mereka berkata, “Bilakah datangnya pertolongan daripada Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”

Al-Baqarah 2:214

Ayat 23

مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا۟ مَا عَـٰهَدُوا۟ ٱللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُۥ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا۟ تَبْدِيلًا

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada (juga) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janji).

Allah Swt menjelaskan pula sifat-sifat orang mukmin yang sentiasa menunaikan janji yang telah mereka ikrarkan kepada-Nya untuk tetap bersabar, tabah dan teguh ketika menghadapi saat-saat yang genting. Mereka juga tidak akan meninggalkan Rasulullah saw kecuali maut yang memisahkannya.

Maka ada di antara mereka yang telah menemui ajal dan gugur dalam peperangan sebagai syuhada’ (mati syahid) seperti dalam Perang Badar dan Uhud. Ada juga di antara mereka yang masih menunggu-nunggu keputusan Allah Swt dan menanti kesyahidan. Mereka sekali-kali tidak akan mengubah dan memungkiri janji.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Dan betapa ramai nabi yang berperang didampingi oleh sejumlah besar daripada pengikut(nya) yang bertakwa. Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak patah semangat serta tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang sabar.”

Ali ‘Imran 3:146

Ayat 24

لِّيَجْزِىَ ٱللَّهُ ٱلصَّـٰدِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ إِن شَآءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya, dan menyeksa orang munafik jika dikehendaki-Nya atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia akan memberikan balasan berupa pahala yang besar di sisi-Nya kepada orang-orang mukmin yang menepati perjanjian dan teguh dalam perjuangan. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman.

Kemudian Allah Swt akan menyeksa orang-orang munafik yang berdusta, menyalahi janji dan melanggar perintah-Nya sehingga mereka berhak mendapat hukuman dan azab-Nya.

Segala sesuatu yang berlaku adalah dengan kehendak Allah Ta’ala. Jika Dia menghendaki, nescaya orang-orang munafik itu hidup terus menerus sebagai orang-orang munafik sehingga bertemu dengan-Nya dan Dia akan mengazab mereka. Begitu juga jika Dia menghendaki nescaya Dia menerima taubat mereka dengan membimbing mereka untuk bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Sesungguhnya Allah Swt Maha Pengampun. Dia mengampuni dosa-dosa orang yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri apabila mereka bertaubat. Dia Maha Penyayang terhadap mereka sehingga Dia membimbing mereka untuk bertaubat dengan baik.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Rabbmu.” Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan mendapat kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabar itu disempurnakan pahalanya tanpa batas.”

Az-Zumar 39:10

Ayat 25

وَرَدَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِغَيْظِهِمْ لَمْ يَنَالُوا۟ خَيْرًا ۚ وَكَفَى ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلْقِتَالَ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ قَوِيًّا عَزِيزًا

Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman daripada bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Dalam Perang Ahzab (Khandak), orang-orang mukmin tidak perlu berperang kerana Allah Swt telah menolong mereka dengan mengirimkan para pasukan yang tidak dapat dilihat iaitu malaikat dan juga angin taufan sehingga membuatkan pasukan bersekutu menjadi kacau bilau dan mengalami kekalahan.

Tentera bersekutu terpaksa berundur dari Madinah dan pulang dengan tangan kosong, penuh kekecewaan, kegagalan dan mendapat kerugian yang sangat besar kerana tidak berhasil mendapat apa-apa daripada peperangan tersebut sama ada harta rampasan atau kemenangan.

Sesungguhnya Allah Swt Maha Kuat lagi Maha Perkasa, dengan keperkasaan-Nya Dia mengusir mereka dalam keadaan kecewa. Oleh yang demikian Dia memuliakan Islam dan para pemeluknya. Dia juga menepati janji-Nya untuk menolong Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.