Surah 33: Al-Ahzab (21)

Perintah Mengikuti Jejak Langkah Rasulullah saw

Surah 33: Al-Ahzab (21)


Ayat 21

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta yang banyak mengingati Allah.

Allah Swt mengingatkan orang-orang beriman tentang perlunya mencontohi dan meneladani panglima dan pemimpin agung iaitu Nabi Muhammad saw sama ada dalam ucapan, perbuatan, tingkah laku dan hal ehwal baginda. Begitu juga dengan kesabaran, ketabahan, kesungguhan dan perjuangan baginda serta keyakinan baginda terhadap janji-janji-Nya.

Oleh itu, setiap orang beriman yang mengharapkan pahala daripada Allah Swt dan percaya kepada Hari Akhirat mestilah berpegang teguh kepada sunnahnya. Ini kerana dengan mengikuti sunnahnya menunjukkan orang tersebut berharap kepada Allah Swt dan kehidupan akhirat. Selain itu, hendaklah banyak mengingati Allah Swt dan beristighfar serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan.

Ayat ini menjadi dalil bagi kita untuk meneladani Rasulullah saw baik dalam ucapan, perbuatan dan akhlaknya.

Firman Allah Swt dalam surah lain:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, terasa berat olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.”

At-Taubah 9:128

Diriwayatkan daripada Imam Muslim, daripada ‘Aisyah ra ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah saw, beliau menjawab, “Akhlaknya adalah Al-Quran.”