Sikap Orang Munafik ketika Terjadi Perang Ahzab
Surah 33: Al-Ahzab (12 – 20)
Ayat 12
وَإِذْ يَقُولُ ٱلْمُنَـٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورًا
Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata, “Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya belaka.”
Tatkala orang-orang munafik dan orang-orang yang menyimpan perasaan ragu-ragu di dalam hati, iaitu orang-orang yang lemah iman mereka berkata bahawa Allah Swt dan Rasul-Nya tidak menjanjikan pertolongan dan kemenangan kepada mereka terhadap musuh melainkan janji palsu semata-mata.
Ayat 13
وَإِذْ قَالَت طَّآئِفَةٌ مِّنْهُمْ يَـٰٓأَهْلَ يَثْرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمْ فَٱرْجِعُوا۟ ۚ وَيَسْتَـْٔذِنُ فَرِيقٌ مِّنْهُمُ ٱلنَّبِىَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوْرَةٌ وَمَا هِىَ بِعَوْرَةٍ ۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارًا
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata, “Wahai penduduk Yathrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu.” Dan sebahagian daripada mereka meminta izin kepada Nabi (untuk pulang) dengan berkata, “Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga).” Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak lari.
Kemudian Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw tentang ucapan sekelompok orang-orang munafik, yang memanggil-manggil orang-orang Madinah dan berkata bahawa tidak ada sebab lagi bagi mereka untuk terus bertahan dalam peperangan bersama-sama Rasulullah saw dan pasukan baginda dalam keadaan mereka yang lemah, hina dan tidak berdaya seperti itu. Oleh itu, mereka diseru agar pulang ke rumah masing-masing supaya terselamat dan tidak terbunuh.
Apabila tersebarnya fitnah dan desas-desus yang melemahkan semangat untuk berperang, maka ada sejumlah orang-orang munafik yang memutuskan untuk kembali, iaitu Bani Harithah. Mereka meminta izin daripada Rasulullah saw untuk kembali ke rumah dan membatalkan niat untuk berperang. Mereka mengemukakan alasan bahawa rumah mereka terbuka dan tidak ada yang menjaganya, maka mereka berasa bimbang pihak musuh akan mengambil barang-barang dan akan menakutkan kaum perempuan serta anak-anak.
Padahal sebenarnya tidak demikian, tujuan mereka dengan itu hanyalah untuk lari dari medan peperangan.
Pada rangkaian ayat ini, Allah Swt menjelaskan sikap orang munafik yang membuat pernyataan yang memperkeruh keadaan.
Allah Swt juga menyatakan sifat orang-orang munafik dalam Perang Tabuk:
“Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut perang) itu, berasa gembira dengan tinggalnya mereka sepanjang peninggalan Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata, “Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini.” Katakanlah (Muhammad), “Api Neraka Jahannam itu lebih panas,” jika mereka mengetahui. Maka biarkanlah mereka tertawa sedikit dan menangis yang banyak, sebagai balasan terhadap apa yang selalu mereka lakukan.”
At-Taubah 9:81-82
Ayat 14
وَلَوْ دُخِلَتْ عَلَيْهِم مِّنْ أَقْطَارِهَا ثُمَّ سُئِلُوا۟ ٱلْفِتْنَةَ لَـَٔاتَوْهَا وَمَا تَلَبَّثُوا۟ بِهَآ إِلَّا يَسِيرًا
Sekiranya (Yathrib) diserang dari segala penjuru, kemudian diminta kepada mereka supaya murtad, nescaya mereka melakukannya. Dan mereka tidak akan bertangguh untuk murtad itu melainkan dalam waktu yang singkat.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa seandainya tentera bersekutu itu masuk ke Madinah dari segala arah penjuru, kemudian orang-orang munafik itu diminta untuk menyekutukan-Nya dan meninggalkan Islam, nescaya mereka akan menerima permintaan itu dengan cepat dan mereka tidak akan teragak-agak walau sesaat pun untuk berbuat syirik.
Ayat 15
وَلَقَدْ كَانُوا۟ عَـٰهَدُوا۟ ٱللَّهَ مِن قَبْلُ لَا يُوَلُّونَ ٱلْأَدْبَـٰرَ ۚ وَكَانَ عَهْدُ ٱللَّهِ مَسْـُٔولًا
Dan sesungguhnya mereka sebelum itu telah pun berjanji kepada Allah, tidak akan balik (undur) ke belakang. Dan adalah perjanjian dengan Allah itu akan ditanya (dipertanggungjawabkan).
Ketika dalam Peperangan Uhud, Bani Harithah telah melarikan diri meninggalkan medan perang, kemudian mereka bertaubat dan berjanji kepada Allah Swt tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt mengingatkan kaum Bani Harithah bahawa mereka telah mengangkat sumpah janji berikrar kepada-Nya bahawa mereka akan sentiasa setia dengan Rasulullah saw. Mereka tidak akan mengulangi lagi perbuatan berundur atau melarikan diri yang pernah mereka lakukan ketika dalam Peperangan Uhud.
Kemudian Allah Swt mengancam mereka dengan mengatakan bahawa sesungguhnya pada Hari Kiamat kelak mereka pasti akan ditanya tentang ikrar dan tuntutan memenuhi janji tersebut. Dia akan memberi balasan atas sikap mereka yang merosakkan janji dan mengkhianati Rasulullah saw.
Firman Allah Swt di atas adalah celaan terhadap orang-orang munafik kerana tidak dapat menjaga keimanan kerana hanya sedikit diuji dengan rasa takut dan gentar.
Ayat 16
قُل لَّن يَنفَعَكُمُ ٱلْفِرَارُ إِن فَرَرْتُم مِّنَ ٱلْمَوْتِ أَوِ ٱلْقَتْلِ وَإِذًا لَّا تُمَتَّعُونَ إِلَّا قَلِيلًا
Katakanlah (Muhammad), “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri daripada kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar daripada kematian) kamu tidak juga akan menikmati kesenangan kecuali sebentar sahaja.”
Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada gunanya orang-orang munafik itu melarikan diri dari medan perang kerana takutkan mati. Ini kerana kematian pasti datang kepada mereka walau di mana sahaja mereka berada, sama ada semasa tewas di medan perang mahupun setelah dapat melarikan diri. Dia tidak akan mempercepatkan ajal mereka dan tidak juga menundanya walaupun sesaat. Sesungguhnya apa yang telah ditakdirkan dan digariskan oleh-Nya pasti akan terjadi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.’”
Al-Jumu’ah 62:8
Sekiranya mereka berjaya melarikan diri semasa peperangan yang dianggap akan menghadapi kematian, mereka hanya akan dapat menikmati kesenangan yang sebentar sahaja kerana akhirnya mereka akan menemui ajal juga apabila tiba masanya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….Katakanlah, ‘Kesenangan di dunia ini hanya sedikit dan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa……….’”
An-Nisa’ 4:77
Ayat 17
قُلْ مَن ذَا ٱلَّذِى يَعْصِمُكُم مِّنَ ٱللَّهِ إِنْ أَرَادَ بِكُمْ سُوٓءًا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ رَحْمَةً ۚ وَلَا يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
Katakanlah, “Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketetapan) Allah jika Dia menghendaki bencana ke atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” Dan orang-orang munafik itu tidak akan dapat pelindung dan penolong selain Allah.
Selanjutnya, Allah Swt menjelaskan kekuasaan-Nya yang sempurna dan mutlak terhadap hamba-hamba-Nya. Dia memerintahkan Rasul-Nya memberitahu umatnya bahawa tidak ada sesiapa pun yang mampu menghindarkan mereka daripada bencana yang dikehendaki-Nya terhadap mereka. Begitu juga tidak ada seorang pun yang dapat memberikan kebaikan sebagai rahmat-Nya sekiranya Dia tidak menghendakinya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan jika Allah menimpakan satu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghalangnya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Yunus 10:107
Ayat 18
قَدْ يَعْلَمُ ٱللَّهُ ٱلْمُعَوِّقِينَ مِنكُمْ وَٱلْقَآئِلِينَ لِإِخْوَٰنِهِمْ هَلُمَّ إِلَيْنَا ۖ وَلَا يَأْتُونَ ٱلْبَأْسَ إِلَّا قَلِيلًا
Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang menjadi penghalang di antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, “Marilah kepada kami,” dan mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja.
Sesungguhnya Allah Swt mengetahui orang-orang yang cuba mempengaruhi dan menghalang kaum mukmin untuk ikut berjuang di medan peperangan. Adanya sifat-sifat munafik dalam diri mereka itulah menyebabkan mereka mengajak sahabat-sahabat mereka dari penduduk Madinah bersatu dengan mereka dan meninggalkan Nabi Muhammad saw. Mereka dilarang ikut berperang bersama-sama baginda kerana dibimbangi akan berlaku kecelakaan di samping mereka ingin membiarkan baginda berperang bersendirian.
Sesungguhnya orang-orang munafik ini turut serta dalam peperangan hanya dalam waktu yang singkat sahaja kerana mereka takut kepada kematian.
Ayat 19
أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ ۖ فَإِذَا جَآءَ ٱلْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَٱلَّذِى يُغْشَىٰ عَلَيْهِ مِنَ ٱلْمَوْتِ ۖ فَإِذَا ذَهَبَ ٱلْخَوْفُ سَلَقُوكُم بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى ٱلْخَيْرِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا۟ فَأَحْبَطَ ٱللَّهُ أَعْمَـٰلَهُمْ ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا
Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbeliak seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan, mereka itu tidak beriman. Maka Allah menghapuskan (pahala) amalannya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Kemudian Allah Swt menyatakan sifat lain bagi kaum munafik ini, antaranya ialah:
▪️ Bakhil
Orang-orang munafik ini adalah orang-orang yang bakhil terhadap orang-orang yang beriman, baik dengan harta, jiwa, usaha dan cinta mereka. Mereka sama sekali tidak mahu membantu dan memberikan sokongan kepada orang-orang beriman, begitu juga ketika pembahagian harta rampasan perang (ghanimah).
▪️ Pengecut dan penakut
Sekiranya mereka ikut berperang, apabila peperangan hendak dimulakan, mereka akan memandang Rasulullah saw seperti berputarnya mata orang yang mengalami sakaratul maut kerana mereka takut kepada kematian dan ingin lari daripadanya.
▪️ Menyakiti dengan mulut
Apabila keamanan telah datang dan ketakutan telah hilang dengan berakhirnya peperangan, mereka kemudiannya berbicara dengan suara yang lantang dengan tujuan menentang dan menghina Rasulullah saw. Mereka mengaku bahawa diri merekalah yang memiliki keberanian dan kehebatan yang sangat tinggi, padahal mereka sebenarnya berdusta.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang tidak beriman dengan hati mereka, maka Dia melenyapkan pahala amalan mereka. Hal ini adalah mudah bagi-Nya sesuai dengan keadilan dan hikmah-Nya.
Dalam ayat yang lain, Allah Swt menyebutkan sifat orang-orang munafik:
“Dan supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan, “Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankanlah (dirimu).” Mereka berkata, “Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan, tentulah kami mengikuti kamu.” Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan.”
Ali ‘Imran 3:167
Ayat 20
يَحْسَبُونَ ٱلْأَحْزَابَ لَمْ يَذْهَبُوا۟ ۖ وَإِن يَأْتِ ٱلْأَحْزَابُ يَوَدُّوا۟ لَوْ أَنَّهُم بَادُونَ فِى ٱلْأَعْرَابِ يَسْـَٔلُونَ عَنْ أَنۢبَآئِكُمْ ۖ وَلَوْ كَانُوا۟ فِيكُم مَّا قَـٰتَلُوٓا۟ إِلَّا قَلِيلًا
Mereka menyangka (bahawa) golongan-golongan (yang bersekutu) itu belum pergi, dan jika golongan-golongan yang bersekutu itu datang kembali, nescaya mereka ingin berada di dusun-dusun bersama-sama orang Arab Badwi, sambil bertanyakan berita tentang kamu. Dan sekiranya mereka berada bersama-sama kamu, mereka tidak akan berperang, melainkan sebentar sahaja.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang munafik menyangka bahawa tentera bersekutu (Ahzab) belum pergi meninggalkan Madinah. Padahal Dia telah menimpakan kekalahan yang teruk sehingga mereka beredar pergi. Ini kerana orang-orang munafik yang tidak suka ikut berperang ini terlampau takut dan cemas di samping tidak ada keimanan dalam diri mereka.
Seandainya tentera bersekutu itu kembali ke Madinah, nescaya orang-orang munafik itu berharap mereka tidak tinggal di Madinah dan berada di tengah-tengah para pasukan pejuang. Mereka berharap akan berada di kampung-kampung bersama dengan orang-orang Arab Badwi di pedalaman sambil mencari-cari berita orang-orang mukmin dan apa yang sedang berlaku antara orang-orang mukmin dan tentera bersekutu dari jauh.
Sekiranya orang-orang munafik ini berada bersama-sama orang-orang beriman di medan peperangan, nescaya mereka tidak berperang bersama-sama orang-orang mukmin kecuali sebentar sahaja dan tidak bersungguh-sungguh. Ini kerana mereka bersifat pengecut, berjiwa lemah dan tidak mempunyai keyakinan diri.