Pertolongan Allah Swt kepada Kaum Mukmin dalam Perang Ahzab
Surah 33: Al-Ahzab (9 – 11)
Ayat 9
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَآءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا
Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kamu ketika datang kepada kamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan bala tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Allah Swt mengingatkan kaum mukmin tentang nikmat dan kebaikan yang Dia anugerahkan kepada mereka dalam Perang Ahzab (golongan bersekutu) atau juga dikenali sebagai Perang Khandak (parit), ketika mereka dikepung oleh tentera bersekutu yang bilangannya terlalu ramai.
Tentera bersekutu ini terdiri daripada tentera kaum Quraisy, Bani Ghatafan, Bani Nadir yang dibuang oleh Rasulullah saw ke Khaibar dan tentera-tentera lain yang datang menyerang ke Madinah.
Setelah sebulan terkepung, maka Allah Swt menghalau musuh-musuh mereka itu dengan mendatangkan tentera-tentera malaikat dan angin taufan yang sangat dingin lagi kencang pada malam yang juga sangat dingin sehinggakan menerbangkan khemah-khemah tentera musuh.
Ketika itu timbullah ketakutan dan kegentaran dalam hati-hati musuh tersebut sehingga salah seorang pemimpin mereka menuduh bahawa Rasulullah saw telah menyihir mereka, maka mereka terpaksa berundur untuk menyelamatkan diri mereka. Oleh itu, dalam Perang Ahzab ini kaum mukmin telah menang tanpa berperang.
Maksud ayat, “Bala tentera yang tidak dapat kamu melihatnya,” ialah para malaikat yang sengaja didatangkan oleh Allah Swt untuk menghancurkan musuh-musuh-Nya itu.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia melihat dan mengetahui segala usaha yang dilakukan oleh kaum mukmin seperti menggali parit, menyusun taktik dan strategi peperangan untuk menegakkan agama-Nya. Oleh itu, segala penderitaan, ketabahan dan kesabaran yang mereka alami selama dikepung itu akan mendapat balasan yang berlipat ganda daripada-Nya.
Ayat 10
إِذْ جَآءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ ٱلْأَبْصَـٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلْقُلُوبُ ٱلْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠
(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan(mu) dan hatimu naik menyesak sampai ke kerongkong dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka.
Kemudian Allah Swt mengingatkan kaum mukmin tentang bagaimana kuat dan rapatnya pengepungan yang dilakukan oleh tentera bersekutu terhadap mereka.
Menurut Huzaifah tentera bersekutu ini mendatangi orang-orang mukmin dari atas lembah dari arah timur yang terdiri daripada golongan Quraisy, Al-Ahbasy, Bani Kinanah dan penduduk Tihamah. Manakala dari bawah lembah dari arah barat pula terdiri daripada Yahudi Bani Quraizah.
Ada pula yang mengatakan yang datang dari atas lembah adalah pasukan daripada penduduk Najd, Bani Asad dan Bani Nashr. Sedangkan yang datang dari bawah lembah adalah pasukan daripada Quraisy. Adapun Yahudi Bani Quraizah, mereka datang dari hadapan parit.
Ketika itu timbullah rasa takut dan gentar terutama dalam hati orang-orang munafik yang ikut serta dengan kaum mukmin. Pandangan mata mereka terbelalak dan kerongkong dirasakan tersumbat kerana kebingungan dan kecemasan mereka yang sangat dahsyat. Lalu mereka berasa ragu-ragu dan berprasangka buruk terhadap Allah Swt bahawa Dia tidak menolong agama-Nya dan kaum mukmin akan dikalahkan oleh tentera bersekutu.
Ayat 11
هُنَالِكَ ٱبْتُلِىَ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا۟ زِلْزَالًا شَدِيدًا
Di situlah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan hatinya dengan goncangan yang dahsyat.
Pada saat itu, Allah Swt menguji orang-orang mukmin, maka terlihatlah siapa di antara mereka yang benar-benar beriman dan siapa yang munafik. Mereka semua mengalami kegoncangan dan kebingungan yang hebat disebabkan kepanikan dan ancaman musuh.
Orang-orang yang tetap teguh dan tenang di kalangan mereka kerana keyakinan mereka terhadap Allah Swt, maka mereka itulah orang-orang mukmin yang sejati. Sedangkan orang-orang yang dalam kegelisahan, kerisauan dan ragu-ragu kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang munafik.
Sebenarnya, Allah Swt lebih mengetahui akan sikap dan keadaan orang-orang munafik ini tetapi Dia ingin memperlihatkan keadaan dan sikap mereka kepada makhluk-Nya daripada kalangan para Nabi dan malaikat.