Surah 33: Al-Ahzab (4 – 5)

Hukum Zihar dan Kedudukan Anak Angkat dalam Islam

Surah 33: Al-Ahzab (4 – 5)


Ayat 4

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِۦ ۚ وَمَا جَعَلَ أَزْوَٰجَكُمُ ٱلَّـٰٓـِٔى تُظَـٰهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَـٰتِكُمْ ۚ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَآءَكُمْ أَبْنَآءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَٰهِكُمْ ۖ وَٱللَّهُ يَقُولُ ٱلْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِى ٱلسَّبِيلَ

Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu sahaja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar).

Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak menciptakan dua hati dalam satu tubuh. Ini kerana hati adalah pusat untuk mengendalikan kehendak dan niat seseorang. Oleh itu, apabila seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah Swt, maka pada waktu itu dia tidak mungkin kafir atau munafik. Dengan kata lain, dalam satu hati tidak mungkin berkumpul dua perkara yang berlawanan.

Imam Ahmad berkata, “Telah menceritakan kepada kami Hasan, telah menceritakan kepada kami Zuhair daripada Qabus iaitu Ibnu Abu Zabyan dia berkata, ‘Aku menerima hadis daripada ayahku, dia pernah bertanya kepada Ibnu ‘Abbas ra tentang maksud ayat, “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya.” Ibnu ‘Abbas ra menjawab, ‘Suatu hari Rasulullah saw berdiri mengerjakan solat, tiba-tiba baginda mengalami keraguan sebagaimana yang biasa dialami oleh orang yang sedang solat. Lalu orang-orang munafik yang sama-sama solat berjemaah dengan baginda mengatakan, “Tidakkah kalian lihat, Muhammad mempunyai dua hati, hati yang pertama bersama kalian dan hati yang kedua bersama mereka (para sahabat).”

Maka Allah Swt menurunkan ayat ini. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi, Ibnu Jarir dan Ibnu Abu Hatim melalui hadis Zuhair dengan sanad yang sama. Imam At-Tirmidzi mengatakan hadis ini hasan.

Kemudian Allah Swt menyebut tentang zihar. Zihar ialah perkataan seorang suami kepada isterinya, “Belakangmu haram bagiku seperti belakang ibuku,” atau perkataan lain yang sama maksudnya. Perkataan seperti itu adalah perkataan dusta, kosong dan palsu yang mengandungi hukuman. Firman-Nya dalam surah yang lain:

“Orang-orang yang menzhihar isterinya di antara kamu, (menganggap isterinya sebagai ibunya, padahal) bukanlah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan suatu perkataan mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

Al-Mujadalah 58:2

Pada masa jahiliyyah, hukuman zihar berlaku sebagai talak yang menyebabkan isteri yang diziharkan haram selama-lamanya bagi suami yang menziharkannya. Kemudian Islam menjadikan keharamannya itu hanya sementara dan boleh diakhiri dengan membayar kafarah (denda iaitu memerdekakan budak hamba, atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin sebelum kembali menyetubuhi isteri yang diziharkan itu). Firman-Nya:

“Orang-orang yang menzihar isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang hamba sebelum suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Al-Mujadalah 58:3

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak menjadikan anak-anak angkat sebagai anak sendiri kerana anak-anak angkat itu adalah anak-anak yang sebenar kepada kedua ibu bapa kandung mereka.

Ayat ini juga membatalkan atau menghapuskan kebiasaan masyarakat Arab pada masa jahiliyyah dan awal Islam yang menjadikan anak angkat sama seperti anak kandung. Ulama tafsir bersepakat bahawa ayat ini turun berkaitan dengan Zaid bin Harithah.

Sebelum masa kenabian, Rasulullah saw memerdekakan Zaid bin Harithah, kemudian baginda mengambilnya menjadi anak angkatnya. Zaid bin Harithah pun dipanggil waktu itu sebagai Zaid bin Muhammmad. Melalui ayat ini, Allah Swt menghapuskan penisbahan nasab palsu dan kebohongan tersebut.

Firman-Nya dalam ayat-ayat yang lain:

“Muhammad itu bukanlah bapa seorang antara kamu, tetapi baginda adalah utusan Allah dan penutup para Nabi. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Al-Ahzab 33:40

“……….Kami nikahkan engkau (Muhammad) dengan dia (Zainab Binti Jahsy, bekas isteri Zaid Bin Harithah iaitu anak angkat Rasulullah saw) agar tidak ada keberatan bagi orang-orang mukmin yang lain untuk menikahi isteri-isteri anak-anak angkat mereka, setelah anak-anak angkat itu telah menceraikan isteri mereka. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.”

Al-Ahzab 33:37

Zihar iaitu menjadikan kedudukan isteri seperti ibu sendiri dan menukarkan hukum anak angkat iaitu anak orang lain kepada anak sendiri hanyalah semata-mata perkataan di mulut belaka dan ucapan kosong yang sama sekali tidak mempunyai hubungkait dengan hakikat, fakta dan kenyataan yang sebenar.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt mengatakan bahawa Dia-lah yang menetapkan hukum yang sebenarnya dan Dia menunjukkan hamba-hamba-Nya jalan yang benar dan lurus.

Ayat 5

ٱدْعُوهُمْ لِـَٔابَآئِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ ٱللَّهِ ۚ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوٓا۟ ءَابَآءَهُمْ فَإِخْوَٰنُكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَمَوَٰلِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَآ أَخْطَأْتُم بِهِۦ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Panggillah mereka (anak angkat itu) dengan (menggunakan) nama bapa-bapa mereka, itulah yang adil di sisi Allah, dan jika kamu tidak mengenali bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu jika kamu tersalah tentang itu, yang ada dosanya apa yang disengaja oleh hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa anak-anak angkat itu hendaklah dinasabkan kepada bapa-bapa mereka yang sebenar. Hal ini adalah paling adil menurut hukum, syariat dan peraturan-Nya serta paling benar dan tepat.

Namun sekiranya tidak diketahui nama bapa kandung kepada anak angkat tersebut, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara seagama dan maula-maula meraka.

Maula-maula ialah hamba sahaya yang sudah dimerdekakan atau seseorang yang telah dijadikan anak angkat, seperti Salim anak angkat Huzaifah, dipanggil Maula Huzaifah.

Allah Swt mengatakan bahawa tidak ada dosa bagi orang-orang yang menasabkan seorang anak kepada selain bapanya jika mereka khilaf atau belum tahu hukum tentang hal itu, tetapi yang menimbulkan dosa adalah apa yang disengajakan oleh hati mereka dengan menetapkan sesuatu yang batil.

Sesungguhnya Allah Swt Maha Pengampun kepada sesiapa sahaja yang memohon keampunan-Nya. Dia juga Maha Penyayang sehingga tidak dengan serta-merta mengazab hamba-hamba-Nya yang bersalah.

Berkaitan dengan nasab, Imam Ahmad meriwayatkan hadis, Rasulullah saw bersabda:

“Tiga hal yang menjadikan manusia kufur, (1) membuat kekeliruan dalam nasab, (2) meratapi kematian dan (3) meminta hujan kepada bintang.”

(HR. Ahmad)

Dalam ayat yang lain, Allah Swt menjelaskan sifat-Nya yang Maha Pengampun:

“Allah tidak menghukum kamu kerana sumpahmu yang tidak kamu sengajakan, tetapi Dia menghukummu kerana niat yang terkandung dalam hatimu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.”

Al-Baqarah 2:225

Rasulullah saw bersabda:

“Allah Ta’ala berfirman, ‘Aku telah menghapuskan hukuman dan dosa kerana lupa dan tidak sengaja.’”

(HR. Muslim)

“Sesungguhnya Allah menghilangkan daripada umatku dosa dengan sebab kesalahan, lupa dan kerana dipaksa.”

(HR. Ibnu Majah)