Allah Swt Menganugerahkan Kitab Taurat dan Kepimpinan Bani Israil kepada Nabi Musa as
Surah 32: As-Sajdah (23 – 25)
Ayat 23
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ فَلَا تَكُن فِى مِرْيَةٍ مِّن لِّقَآئِهِۦ ۖ وَجَعَلْنَـٰهُ هُدًى لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ
Dan Sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Musa kitab (Taurat), maka janganlah engkau (Muhammad) ragu-ragu menerimanya dan Kami jadikan kitab (Taurat) itu petunjuk bagi Bani Israil.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah memberikan kitab Taurat kepada Nabi Musa as sebagaimana Dia memberikan Al-Quran kepada Rasulullah saw.
Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa as untuk dijadikan petunjuk kepada Bani Israil pada zamannya. Manakala Al-Quran pula telah diberikan kepada Nabi Muhammad saw untuk dijadikan petunjuk kepada umat Islam seluruhnya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Maka adakah (orang-orang kafir itu sama dengan) orang-orang yang mempunyai bukti yang nyata (Al-Quran) daripada Rabbnya, dan diikuti pula oleh seorang saksi daripada-Nya dan sebelumnya (Al-Quran) itu telah ada Kitab Musa yang menjadi pedoman dan rahmat? Mereka itu beriman kepadanya (Al-Quran). Sesiapa mengingkarinya (Al-Quran) di antara golongan mereka (orang-orang Quraisy), maka nerakalah tempat baginya. Maka janganlah engkau ragu-ragu terhadapnya (Al-Quran). Sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar daripada Rabbmu, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.”
Hud 11:17
Ayat 24
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا۟ ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا يُوقِنُونَ
Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.
Allah Swt telah mengangkat para pemimpin di kalangan Bani Israil yang menyeru manusia kepada kebaikan dan keimanan. Mereka mengajak manusia kepada tauhid iaitu semata-mata menyembah dan mentaati-Nya.
Mereka mendapat darjat yang tinggi kerana mereka benar-benar meyakini ayat-ayat Allah Swt dan membenarkan para Rasul. Mereka juga bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian berupa penindasan dan perhambaan oleh Firaun dan pengikut-pengikutnya. Firman-Nya:
“Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Bani Israil kitab (Taurat), kekuasaan dan kenabian, dan Kami berikan kepada mereka rezeki-rezeki yang baik dan Kami lebihkan mereka atas bangsa-bangsa (pada masanya).”
Al-Jathiyah 45:16
Namun ketika mereka mengubah dan memalsukan tafsiran kitab Taurat sesuai dengan hawa nafsu mereka, maka mereka dihinakan. Hati mereka menjadi keras sehingga keyakinan dan amal mereka tidak lagi berada pada jalan yang lurus.
Ayat 25
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
Sesungguhnya Rabbmu Dia-lah yang memberikan keputusan di antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan.
Sesungguhnya pada Hari Kiamat nanti Allah Swt akan mengadili dan memberikan keputusan di antara hamba-hamba-Nya tentang apa yang mereka perselisihkan ketika di dunia dahulu berkaitan dengan masalah-masalah agama. Dia akan memberikan balasan kepada mereka sesuai dengan amal perbuatan masing-masing, iaitu dengan memasukkan penghuni syurga ke dalam syurga dan penghuni neraka ke dalam neraka. Firman-Nya:
“Dan Kami berikan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata tentang urusan (agama), maka mereka tidak berselisih melainkan sesudah datang kepada mereka pengetahuan kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka.”
Al-Jathiyah 45:17