Keadaan Orang Musyrik pada Hari Kiamat
Surah 32: As-Sajdah (12 – 14)
Ayat 12
وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا۟ رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَٱرْجِعْنَا نَعْمَلْ صَـٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Dan (alangkah ngerinya) sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Rabb mereka, (mereka berkata), “Wahai Rabb Kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.”
Allah Swt menceritakan nasib yang akan dideritai oleh orang-orang musyrik pada Hari Kiamat kelak dan keluhan mereka ketika dibangkitkan menghadap-Nya dalam keadaan tertunduk kerana berasa begitu hina, takut dan malu.
Ketika itu mereka mengakui bahawa mereka benar-benar telah melihat dan menyaksikan sendiri keadaan Hari Pembalasan tersebut sama seperti apa yang telah disampaikan oleh para Rasul-Nya semasa berada di dunia dahulu.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Alangkah tajamnya pendengaran mereka dan alangkah terangnya penglihatan mereka pada hari mereka datang kepada Kami………”
Maryam 19:38
Demikian juga mereka mencela diri sendiri tatkala mereka telah dimasukkan ke dalam neraka, melalui ucapan mereka seperti dalam firman Allah Swt:
“Dan mereka berkata, ‘Sekiranya (dahulu) kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu) tentu kami tidak termasuk di kalangan penghuni neraka yang menyala-nyala.’”
Al-Mulk 67:10
Maka mereka merayu untuk dikembalikan semula ke dunia agar dapat melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah Swt kerana mereka telah yakin bahawa hanya Dia Yang Maha Esa dan hanya Dia yang layak disembah. Ini sebagaimana firman-Nya:
“Dan seandainya engkau (Muhammad) melihat ketika mereka dihadapkan ke neraka, mereka berkata, ‘Seandainya kami dikembalikan (ke dunia) tentu kami tidak akan mendustakan ayat-ayat Rabb kami serta menjadi orang-orang yang beriman.’ Tetapi (sebenarnya) bagi mereka telah nyata kejahatan yang mereka sembunyikan dahulu. Seandainya mereka dikembalikan ke dunia, tentu mereka akan mengulang kembali apa yang telah dilarang dilakukan. Mereka itu sesungguhnya pendusta.”
Al-An’am 6:27-28
Ayat 13
وَلَوْ شِئْنَا لَـَٔاتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَىٰهَا وَلَـٰكِنْ حَقَّ ٱلْقَوْلُ مِنِّى لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Dan jika Kami menghendaki nescaya Kami akan berikan kepada setiap jiwa petunjuk, tetapi telah tetaplah perkataan (ketetapan) daripada-Ku, “Sesungguhnya akan Aku penuhi Neraka Jahannam itu dengan jin dan manusia semuanya.
Kemudian Allah Swt menyatakan seandainya Dia berkehendak, nescaya Dia memberikan petunjuk kepada orang-orang yang menyekutukan-Nya itu dan membimbing mereka kepada keimanan, sebagaimana firman-Nya:
“Dan jika Rabbmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di bumi seluruhnya……….”
Yunus 10:99
Walau bagaimanapun keputusan Allah Swt telah ditetapkan ke atas mereka bahawa Dia benar-benar akan memenuhkan Neraka Jahannam dengan orang-orang yang kafir dan para pelaku kemaksiatan, sama ada daripada kalangan jin mahupun manusia seluruhnya. Ini kerana mereka telah memilih kesesatan daripada memilih petunjuk. Firman-Nya dalam ayat yang lain:
“………..Kalimat (keputusan) Rabbmu telah tetap, ‘Aku pasti akan penuhi Neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya.’”
Hud 11:119
Oleh itu, tempat tinggal mereka adalah neraka, tidak ada tempat bagi mereka untuk melarikan diri bagi menghindari api neraka. Kita berlindung kepada Allah dan kepada kalimat-Nya yang sempurna daripada seksaan seperti yang mereka terima. Allahumma Aamiin!
Ayat 14
فَذُوقُوا۟ بِمَا نَسِيتُمْ لِقَآءَ يَوْمِكُمْ هَـٰذَآ إِنَّا نَسِينَـٰكُمْ ۖ وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْخُلْدِ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maka rasakanlah olehmu (seksaan ini) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan harimu (Hari Kiamat) ini. Sesungguhnya Kami (juga) telah melupakan kamu dan rasakanlah seksaan yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan.”
Seterusnya, Allah Swt menyatakan pada saat orang-orang musyrik itu dimasukkan ke dalam neraka, mereka disambut dengan kata-kata kecaman, celaan dan penghinaan disebabkan kelalaian mereka terhadap kehidupan akhirat dan tenggelam dalam kenikmatan dunia.
Oleh itu, pada hari itu mereka dibiarkan merasakan azab Neraka Jahannam yang tidak putus-putus akibat daripada perbuatan mereka di dunia berupa kekafiran dan kemaksiatan kepada Allah Swt.
Maksud ayat “Sesungguhnya Kami (juga) telah melupakan kamu” bukan bererti Allah Swt lalai atau lupa mengawasi mereka tetapi bermaksud Dia akan memperlakukan mereka sebagaimana memperlakukan orang asing yang sama sekali tidak dikenali-Nya. Ini hanya gambaran yang berkaitan dengan tindakbalas daripada Allah Swt di atas perbuatan mereka.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Dan dikatakan (kepada mereka), ‘Pada hari ini Kami melupakan kamu sebagaimana kamu telah melupakan pertemuan (dengan) harimu ini dan tempat kembalimu ialah neraka dan kamu sekali-kali tidak memperoleh penolong.’”
Al-Jathiyah 45:34