Muqaddimah-Al-Baqarah

Surah Al-Baqarah

Surah Al-Baqarah


Klasifikasi Surah: Madaniyyah 
Surah: 2
Juz: 1 (1 – 141)
2 (142 – 202)
3 (203 – 286)
Jumlah Ayat: 286
Maksud Surah: Lembu Betina
Nama Lain: Fustaatul-Quran bermaksud puncak Al-Quran kerana memuatkan beberapa hukum yang tidak disebutkan dalam surah yang lain 

Intisari Surah

Surah ini dinamakan surah Al-Baqarah kerana di dalamnya terdapat kisah lembu betina yang diperintahkan kepada Bani Israil menyembelihnya agar terungkap siapa pembunuh sebenar di kalangan mereka. Ini dilakukan dengan cara memukul orang yang mati itu dengan salah satu bahagian lembu tersebut sehingga lelaki yang mati itu hidup semula dengan izin Allah swt lalu memberitahu mereka siapakah orang yang membunuhnya. Kisah tersebut dimulai dari ayat 67 pada surah ini dan menjelaskan sifat kaum Bani Israil yang terlalu keras hati sehingga Allah menyukarkan urusan mereka. 

Surah ini banyak memuatkan hukum-hukum dan syariat seperti perintah: 

  • Mengerjakan solat 
  • Menunaikan zakat 
  • Hukum puasa 
  • Hukum haji dan umrah Hukum qisas 
  • Hal-hal yang halal dan haram 
  • Menafkahkan sebahagian harta pada jalan Allah Ta’ala dan kepada yang berhak menerimanya 
  • Hukum arak dan judi 
  • Cara menyantuni anak yatim 
  • Larangan riba 
  • Hukum hutang piutang 
  • Wasiat kepada kedua ibu-bapa dan kaum kerabat 
  • Hukum sumpah 
  • Kewajipan menyampaikan amanat 
  • Hukum sihir 
  • Hukum merosakkan masjid 
  • Hukum mengubah isi kitab-kitab Allah swt 
  • Hukum haid, iddah, talak, khuluk, ila’ (sumpah) dan hukum penyusuan 
  • Hukum melamar, mahar, larangan mengahwini wanita musyrik dan sebaliknya 
  • Hukum perang 

Surah ini juga menceritakan kisah Nabi Adam as, Nabi Musa as, Nabi Ibrahim as, Nabi Yaakub as, Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as. 

Perkara utamanya adalah berdakwah kepada kaum musyrik, Yahudi Madinah dan kaum munafik serta memberi amaran kepada mereka. 

Surah ini juga mengandungi ayat kursi iaitu ayat yang teragung dan sering dihafal oleh masyarakat Muslim. Malah, ayat ini dijadikan bacaan untuk mendapat perlindungan dan keredaan Allah swt.