Surah 31: Luqman (34)

Kunci-kunci Ghaib yang Hanya Ada pada Allah Swt

Surah 31: Luqman (34)


Ayat 34

إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥ عِلْمُ ٱلسَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ ٱلْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِى ٱلْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِى نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِى نَفْسٌۢ بِأَىِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Sesungguhnya ilmu tentang Hari Kiamat hanya ada pada sisi Allah, dan Dia yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa pengetahuan tentang perkara-perkara ghaib adalah milik-Nya, hanya Dia yang mengetahuinya, antaranya ialah:

▪️   Kedatangan Hari Kiamat.

▪️   Waktu dan tempat turunnya hujan.

▪️   Janin dalam rahim seorang wanita.

▪️   Apa yang akan berlaku pada keesokan harinya.

▪️   Tempat kematian seseorang.

Daripada Ibnu Umar ra, beliau berkata Rasulullah saw bersabda:

“Kunci-kunci ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah Swt semata-mata. Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahaja pengetahuan tentang kiamat, dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Kelima-lima hal tersebut tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah Swt sahaja, termasuklah malaikat dan para Rasul sekalipun. Adapun para Rasul, mereka mengetahui banyak perkara ghaib kerana Allah Swt memberitahu mereka. Oleh itu, sesiapa yang mendakwa bahawa dia mengetahui sesuatu daripada perkara-perkara ghaib tersebut, sesungguhnya itu adalah palsu dan dia telah ingkar terhadap Al-Quran.

Sesungguhnya pengetahuan Allah Swt tidaklah hanya tentang perkara-perkara di atas sahaja tetapi Dia Maha Mengetahui secara mutlak tentang segala sesuatu.

Firman-firman Allah Swt di dalam surah yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), ‘Tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah……….’”

An-Naml 27:65

“Dan kunci-kunci semua perkara ghaib ada pada-Nya, tidak ada yang mengetahuinya selain Dia……….”

Al-An’am 6:59

“………pengetahuan tentang kiamat itu ada pada Rabbku, tidak (ada seorang pun) yang dapat menjelaskan waktu terjadinya selain Dia……….”

Al-A’raf 7:187