Surah 31: Luqman (22 – 24)

Orang yang Beriman Akan Mendapat Kebaikan Manakala Orang yang Ingkar Akan Mendapat Azab

Surah 31: Luqman (22 – 24)


Ayat 22

وَمَن يُسْلِمْ وَجْهَهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

Dan sesiapa yang berserah diri kepada Allah, sedang dia berusaha berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali) yang kukuh. Dan hanya kepada Allah kesudahan segala urusan.

Allah Ta’ala menyatakan orang-orang yang berserah diri kepada-Nya secara ikhlas, melakukan amal kebajikan hanya kerana-Nya, mentaati segala perintah dan larangan-Nya, sesungguhnya mereka benar-benar berpegang kepada tali Allah yang kuat. Ini bermaksud mereka mendapat jaminan tidak akan mendapat seksaan-Nya.

Allah Ta’ala berfirman dalam ayat yang lain:

“……….Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan mendapat (balasan) yang baik. Dan sesungguhnya negeri akhirat pasti lebih baik, dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang-orang yang bertakwa.”

An-Nahl 16:30

Ayat 23

وَمَن كَفَرَ فَلَا يَحْزُنكَ كُفْرُهُۥٓ ۚ إِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ فَنُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

Dan sesiapa kafir maka kekafirannya itu janganlah menyedihkan kamu (Muhammad). Hanya kepada Kami tempat kembali mereka, lalu Kami beritakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

Ini adalah ayat untuk menenangkan hati Rasulullah saw. Allah Ta’ala menyatakan bahawa baginda tidak perlu bersedih hati atas kekafiran kaumnya kepada-Nya dan kepada ajaran yang dibawanya. Kelak ketentuan-Nya berupa azab-Nya akan menimpa mereka. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka janganlah engkau (Muhammad), mencelakakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan (Al-Quran) ini.”

Al-Kahfi 18:6

Sesungguhnya Allah Ta’ala mengetahui segala rahsia yang tersimpan dalam hati manusia, sedikitpun tidak ada yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.

Ayat 24

نُمَتِّعُهُمْ قَلِيلًا ثُمَّ نَضْطَرُّهُمْ إِلَىٰ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Kami biarkan mereka bersenang-lenang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam azab yang keras.

Setelah itu, Allah Ta’ala memberikan kesenangan kepada orang-orang yang kufur dan mendustakan-Nya itu yang bererti Dia menangguhkan seksaan kepada mereka. Namun akhirnya mereka akan menerima azab yang pedih sebagai balasan atas perbuatan mereka.

Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan pembohongan terhadap Allah tidak akan beruntung.’ (Bagi mereka) kesenangan (sesaat) ketika di dunia, kemudian kepada Kami-lah mereka kembali, kemudian Kami rasakan kepada mereka azab yang berat kerana kekafiran mereka.”

Yunus 10:69-70