Dalil-dalil Kekuasaan dan Keesaan Allah Swt
Surah 31: Luqman (10 – 11)
Ayat 10
خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ۖ وَأَلْقَىٰ فِى ٱلْأَرْضِ رَوَٰسِىَ أَن تَمِيدَ بِكُمْ وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍ ۚ وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ
Dia menciptakan langit tanpa tiang sebagaimana kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-ganang (di permukaan) bumi agar (bumi) itu tidak menggoncangkan kamu, dan membiakkan padanya (bumi) pelbagai jenis makhluk bergerak yang bernyawa. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang baik.
Allah Ta’ala menjelaskan dalil-dalil dan bukti-bukti tentang kekuasaan-Nya yang agung dan hikmah-Nya yang sempurna. Antaranya ialah:
▪️ Allah Ta’ala menciptakan langit yang tinggi tanpa ada sebatang pun tiang yang menyangga (menyokong)nya agar tidak runtuh.
▪️ Allah Ta’ala menjadikan gunung-gunung yang menjulang tinggi yang berdiri kukuh sebagai pasak bumi sehingga bumi menjadi stabil supaya tidak bergoncang dan bergoyang-goyang bersama-sama para penghuninya.
▪️ Allah Ta’ala menciptakan dan membiakkan pelbagai jenis binatang yang tidak terhingga banyaknya di daratan, lautan dan udara dengan pelbagai saiz, warna, bentuk dan rupa.
▪️ Allah Ta’ala menurunkan hujan dari awan untuk menumbuhkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang indah bentuknya dan pelbagai jenis pokok-pokok buah-buahan. Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan ini banyak manfaatnya kepada kehidupan manusia dan juga haiwan.
Ayat 11
هَـٰذَا خَلْقُ ٱللَّهِ فَأَرُونِى مَاذَا خَلَقَ ٱلَّذِينَ مِن دُونِهِۦ ۚ بَلِ ٱلظَّـٰلِمُونَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepada-Ku apa yang telah diciptakan oleh (sembahanmu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada dalam kesesatan yang nyata.
Segala yang disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam ayat sebelum ini merupakan ciptaan-Nya yang menakjubkan dan menjadi bukti yang jelas tentang kekuasaan-Nya yang Maha Agung.
Oleh itu, Allah Ta’ala mencabar orang-orang yang menyekutukan-Nya agar menunjukkan siapakah di antara sembahan-sembahan mereka yang dapat menciptakan seperti yang Dia ciptakan.
Seterusnya, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang menzalimi diri sendiri dengan menyekutukan-Nya, mereka itu terang-terangan berada dalam kesesatan.