Surah 2: Al-Baqarah (62) 

Balasan terhadap Orang Beriman

Surah 2: Al-Baqarah (62) 


Ayat 62

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَادُوا۟ وَٱلنَّصَـٰرَىٰ وَٱلصَّـٰبِـِٔينَ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Allah Swt menyatakan bahawa ada empat golongan yang mendengar seruan Rasulullah saw pada zaman baginda menyampaikan risalahNya, iaitu: 

  • Orang-orang yang beriman kepada para nabi yang diutuskan kepada mereka seperti para sahabat. 
  • Orang-orang Yahudi yang mengikut syariat Nabi Musa as. 
  • Orang-orang Nasrani yang mengikuti syariat Nabi Isa as. 
  • Orang-orang Sabiin. 

Sekiranya keempat-empat golongan atau salah satu daripada mana-mana golongan ini beriman kepada Allah Ta’ala dan hari kemudian disertai pula dengan berbuat kebaikan mengikut ajaran Islam, nescaya Dia akan sediakan pahala di akhirat sebagai balasan. Mereka tidak akan khuatir dan berdukacita. Firman-Nya: 

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, ‘Rabb kami adalah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, ‘Janganlah kamu takut dan janganlah berasa sedih dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.’” 

Fussilat 41:30 

Ulama tafsir bersepakat mengatakan orang-orang Yahudi adalah pengikut Nabi Musa as dan mereka berhukum kepada kitab Taurat pada zamannya. Orang-orang Nasrani merupakan pengikut Nabi Isa as. Kedua-dua golongan ini berada di atas petunjuk pada awalnya sehinggalah ahli agama mereka mengubah agama mereka. 

Namun para ulama berbeza pendapat tentang Sabiin. Antaranya ialah: 

  • Mujahid dan Sa’id bin Jubair mengatakan Sabiin adalah suatu kaum antara Majusi, Yahudi dan Nasrani yang tidak mempunyai agama. 
  • Ada yang mengatakan mereka adalah suatu kaum yang menyembah malaikat. 
  • Ada pula mengatakan mereka adalah suatu kaum yang menyembah bintang-bintang. 
  • Pendapat lain mengatakan mereka adalah kelompok daripada ahli kitab yang membaca Zabur. 
  • Sebahagian ulama lain pula mengatakan, Sabiin adalah orang-orang yang belum sampai kepada mereka dakwah seorang nabi pun. 
  • Pendapat yang lebih jelas adalah pendapat, bukan Majusi, bukan pula kaum musyrik. Namun mereka adalah suatu kaum yang hanya tetap pada fitrah mereka, tiada agama tetap yang menjadi anutan dan pegangan mereka.