Sifat Orang Kafir
Surah 2: Al-Baqarah (6 – 7)
Ayat 6
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ سَوَآءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.
Sesungguhnya orang-orang kafir mengingkari ayat-ayat Allah Swt, mendustakan Al-Quran dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah saw. Oleh itu, sama sahaja bagi mereka sama ada diberi peringatan ataupun tidak. Mereka tetap dalam keadaan kafir kepada Allah Swt. Namun begitu peringatan-peringatan yang diberikan itu hanyalah sebagai hujjah agar mereka tidak dapat memberi pelbagai alasan di hadapan Allah Swt pada hari kiamat kelak.
Ayat 7
خَتَمَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ ۖ وَعَلَىٰٓ أَبْصَـٰرِهِمْ غِشَـٰوَةٌ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
Allah Swt menghalang mereka daripada mendapat petunjuk disebabkan kesombongan dan keingkaran mereka untuk memerhati dan memahami ayat-ayat Al-Quran. Dalam surah yang lain, Allah Swt berfirman:
“Dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Dan apabila kamu menyebut Rabbmu sahaja dalam Al-Quran, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana kebenciannya.”
Al-Isra’ 17:46
Ini merupakan hukuman yang disegerakan di dunia. Manakala di akhirat kelak mereka akan menerima hukuman berupa azab yang sangat pedih iaitu azab neraka dan kemurkaan Allah Swt sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang kafir dan mereka mati dalam keadaan kafir, mereka itu mendapat laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya.”
Al-Baqarah 2:161