Surah 2: Al-Baqarah (3 – 5) 

Sifat Orang Mukmin

Surah 2: Al-Baqarah (3 – 5) 


Ayat 3

ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱلْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Kalimah الغَيبِ (ghaib) bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat dan dirasai oleh pancaindera. Percaya kepada yang ghaib adalah mengi’tikadkan atau membenarkan adanya yang maujud (tetapi tidak dapat dilihat dan dirasa oleh pancaindera). Ini kerana terdapat dalil yang menunjukkan adanya sesuatu, seperti adanya Allah swt, malaikat, hari akhirat dan sebagainya. 

Manusia mesti beriman kepada yang ghaib kerana itu adalah perintah daripada Allah swt. Dalam kitab Ibnu Kathir ada dinyatakan majoriti ulama’ berpendapat bahawa iman tidak mungkin ada kecuali yang diwujudkan melalui keyakinan, ucapan dan amal perbuatan. 

Beberapa pendapat tentang maksud وَيُقِيمُونَ الصَّلَوٰةَ “Dan yang mendirikan solat,” iaitu: 

  • Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksudnya ialah mendirikan solat dengan mengerjakan seluruh kewajipannya. 
  • Adh-Dhahhak mengatakan maksudnya ialah mengerjakan rukuk, sujud dan bacaan solat yang sempurna serta penuh kekhusyukan. 
  • Qatadah pula mengatakan maksudnya ialah mengerjakannya dengan menjaga waktu, menyempurnakan rukuk dan sujudnya. 

Menurut Ibnu Jarir, ayat “menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka,” adalah bersifat umum dan bermaksud menunaikan segala kewajipan yang ada pada harta benda mereka, sama ada zakat ataupun nafkah kepada orang-orang di bawah tanggungan mereka. 

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dikatakan solat dan infak (zakat) sering kali digandingkan bersama kerana: 

  • Solat merupakan hak Allah swt yang mencakupi pengesaan, penyanjungan, pengharapan, pernyataan pujian dan perbuatan memanjatkan doa serta tawakkal kepadaNya. 
  • Infak pula merupakan salah satu bentuk kebaikan kepada sesama makhluk dengan memberikan manfaat kepada mereka. 
Ayat 4

وَٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ وَبِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

Menurut Ibnu ‘Abbas ra, ayat di atas bermaksud mereka membenarkan ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw dan para rasul sebelumnya. Mereka sama sekali tidak membezakan para rasul dan tidak mengingkari apa yang dibawa oleh mereka daripada Allah swt. Mereka juga meyakini adanya hari kebangkitan, kiamat, syurga, neraka, timbangan dan pembalasan. 

Maksud “yakin adanya kehidupan akhirat” ialah benar-benar percaya bahawa adanya kehidupan sesudah mati (iaitu alam barzakh yang di dalamnya terdapat fitnah kubur, azab kubur dan nikmat kubur) dan sesudah dunia berakhir (seperti kebangkitan manusia dan pengumpulan manusia di mahsyar, adanya hisab (pemeriksaan amalan), mizan (penimbangan amalan), syurga dan neraka. 

Ayat 5

أُو۟لَـٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

Maksud “Mereka itulah,” dalam ayat ini ialah orang-orang yang beriman kepada perkara ghaib, hari akhirat, Al-Quran dan kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya. Mereka juga mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan berada atas petunjuk Allah swt. Mereka memiliki kedudukan yang tinggi di sisiNya dan balasannya adalah syurga. Ini adalah sifat-sifat orang mukmin.