Surah 2: Al-Baqarah (23 – 24) 

Keraguan Orang Musyrik tentang Al-Quran 

Surah 2: Al-Baqarah (23 – 24) 


Ayat 23

وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Allah mencabar orang-orang musyrik yang ragu-ragu tentang kebenaran Al-Quran. Mereka diminta agar mencipta hanya satu surah yang setanding dengan Al-Quran bagi membuktikan bahawa Al-Quran itu rekaan Nabi Muhammad saw. 

Allah Swt berfirman dalam surah lain: 

“Bahkan mereka mengatakan, ‘Muhammad telah membuat-buat Al Quran itu.’ Katakanlah: ‘(Kalau demikian), maka datangkanlah sepuluh surah-surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup memanggilnya selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar.’” 

Hud 11:13

Ayat 24

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ وَلَن تَفْعَلُوا۟ فَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَـٰفِرِينَ

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

Al-Quran itu tidak dapat ditiru walaupun hanya satu surah meskipun dihimpunkan semua ahli sastera dan bahasa kerana ia merupakan mukjizat Nabi Muhammad saw. 

Sesungguhnya manusia tidak akan mampu mendatangkan satu surah pun yang serupa dengan Al-Quran seperti firman Allah Swt: 

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.’” 

Al-Isra’ 17:88