Surah 2: Al-Baqarah (21 – 22) 

Perintah supaya Beribadah kepada Allah Swt

Surah 2: Al-Baqarah (21 – 22) 


Ayat 21

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.

Ayat ini merupakan perintah Allah Swt kepada semua manusia agar beribadah semata-mata kepada-Nya. Dia-lah yang menciptakan semua manusia daripada tiada kepada ada. Tujuannya adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah yang lain: 

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdi kepada-Ku.” 

Surah Az-Zariyat 51:56

Pengabdian kepada Allah yang diperintahkan itu akan menjadikan manusia bertakwa. Allah Swt berfirman: 

“Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.” 

Maryam 19:63 

Ali ra mengatakan, “Takwa adalah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan-Nya dan redha dengan yang sedikit serta bersiap sedia untuk hari kesudahan.” 

Ayat 22

ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ فِرَٰشًا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءً وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ فَلَا تَجْعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dia-lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).

Allah Swt menyatakan bahawa antara sebab mengapa manusia mesti mengabdikan diri semata-mata kepada-Nya ialah kerana Dia-lah Rabb yang telah menjadikan bumi ini mudah untuk kehidupan mereka sebagaimana dalam firman-Nya: 

“Dia-lah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah ke setiap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” 

Al-Mulk 67:15

Allah menciptakan langit sebegitu rapi sebagai atap. Dia juga menciptakan awan yang akan menurunkan hujan. Daripada hujan inilah tanah menjadi subur dan dapat mengeluarkan pelbagai hasil tanaman sebagai rezeki untuk sekalian hamba-Nya dan kehidupan seluruhnya. 

Firman Allah Swt dalam surah yang lain: 

“Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit), kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu, anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan buah kurma, kebun-kebun (yang) lebat, dan buah-buahan serta rumput-rumputan, untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakanmu.” 

‘Abasa 80:25-32